The Fourth Phase School Reopening

Jul 22, 2020
PENGEMBALIAN OPERASI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH, MENENGAH DAN PUSAT-PUSAT TINGKATAN ENAM SERTA INSTITUSI-INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM (IPTA) DAN INSTITUT PENDIDIKAN TEKNIKAL BRUNEI (IBTE) PERINGKAT KE-4 DAN TATACARA DAN GARIS PANDUAN BAGI PELAJAR NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KEMBALI KE NEGARA PENGAJIAN


Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa dengan nasihat dan kerjasama Kementerian Kesihatan dalam mengikuti perkembangan semasa wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, sesi persekolahan Peringkat Ke-4 pengembalian operasi pengajaran dan pembelajaran di institusi-institusi Pendidikan di Negara Brunei Darussalam akan dimulakan pada hari Isnin, 5 Zulhijjah 1441 bersamaan dengan 27 Julai 2020. Sesi persekolahan Peringkat Ke-4 ini adalah bagi semua sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, semua sekolah swasta serta sekolah Arab di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama termasuk Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) bagi Sesi Akademik Tahun 2020-2021. Bagi sekolah-sekolah antarabangsa, ianya adalah tertakluk kepada tarikh yang telah ditetapkan oleh institusi masing-masing.

Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sesi persekolahan Peringkat Ke-4 ini adalah dibenarkan untuk mengadakan sesi persekolahan seperti biasa. Pada peringkat ini, semua aktiviti di luar bilik darjah seperti perkumpulan pagi, sukan dan kokurikulum secara bersemuka masih tidak akan dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan nanti. 

Pelaksanaan mod pembelajaran Peringkat ke-4 bagi IPTA dan IBTE pula adalah tertakluk kepada keperluan program-program yang dijalankan. Pihak IPTA dan IBTE diberi fleksibiliti dalam menentukan kaedah-kaedah pembelajaran yang bersesuaian kepada pelajar-pelajar termasuklah meneruskan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian seperti yang telah berjalan pada masa ini. Sementara itu, penempatan kerja dan lawatan-lawatan sambil belajar di dalam negara adalah dibenarkan tertakluk kepada Laporan Penilaian Risiko (Risk Assesment) dan kebenaran dari pihak pengurusan IPTA dan IBTE. Manakala program ‘Study Abroad’ atau program-program ke luar negara masih tidak dibenarkan sebagaimana juga tegahan bagi seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk keluar negeri masih dikekalkan seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini. 

Walau bagaimanapun, pelajar yang berhasrat untuk mengikuti pengajian di luar negeri (pelajar baru) atau kembali ke negara pengajian (pelajar yang telah berada di tanah air) adalah dikehendaki untuk mengikuti garispanduan yang telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan dan juga mengisikan dua (2) borang yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan iaitu: 

a. Borang A (COVID -19) – Borang Memohon Kebenaran Kembali ke Negara Pengajian; dan 
b. Borang B (COVID-19) – Borang Deklarasi: Kembali ke Negara Pengajian. 

Bagi sebarang maklumat lanjut dan terperinci bolehlah menghubungi Bahagian Bahagian Biasiswa, Tingkat 5, Blok C, Bangunan Kementerian Pendidikan, Jalan Lapangan Terbang Lama, Berakas ditalian 2380019.

Bagi Peringkat Ke-4 ini, semua kemudahan asrama di bawah Kawalan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama adalah dibenarkan untuk beroperasi semula dengan kapasiti penuh. Dalam hal ini, atas nasihat Kementerian Kesihatan, pengawas pelajar asrama adalah dikehendaki untuk memantau kesihatan pelajar dengan mengemas kini status kesihatan pelajar melalui aplikasi BruHealth pada setiap hari. 

Dengan jumlah lebih ramai lagi pelajar kembali bersekolah di peringkat berikut ini, pihak Kementerian Pendidikan akan lebih cenderung dalam menekankan aspek kebersihan diri serta premis sekolah dan institusi-institusi pengajian. Pihak sekolah dan institusi-institusi pengajian adalah ditekankan untuk menggunakan garis panduan serta langkah-langkah menjaga keselamatan, kebersihan dan pencegahan yang telah disediakan dalam memastikan kesejahteraan pelajar-pelajar dan warga sekolah serta institusi-institusi pengajian adalah terjamin. Pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengembalian Semula Sekolah / Pelan De-Escalation IPTA dan IBTE seperti mengadakan pemeriksaan suhu badan setiap hari bagi pelajar-pelajar, guru-guru, tenaga pengajar, pensyarah-pensyarah dan individu-individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah dan institusi-institusi pengajian adalah masih diteruskan.

Pusat-pusat tuisyen juga akan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh. Langkah-langkah pencegahan seperti pemeriksaan suhu badan dan penggunaan pengimbasan Kod QR bagi individu yang keluar masuk dari dan ke premis tuisyen berkenaan hendaklah dilakukan, di mana mereka yang mempunyai simptom dan berada dalam kod merah adalah tidak akan dibenarkan untuk hadir. Selain itu, pemakaian sebarang jenis penutup hidung adalah digalakkan. 

Dengan norma baru dalam amalan dan penekanan terhadap kebersihan diri yang diperkenalkan, Kementerian Pendidikan berharap norma-norma baru ini akan terus diamalkan khususnya dalam memupuk budaya kebersihan demi kesejahteraan warga sekolah pasca COVID-19 nanti. Pihak Kementerian Pendidikan berharap pengembalian operasi pengajaran dan pembelajaran di institusi-institusi Pendidikan di Negara Brunei Darussalam bagi Peringkat Ke-4 ini nanti akan berjalan dengan lancar dan selamat. Dengan yang demikian, adalah disarankan agar semua pihak sentiasa patuh kepada segala arahan dan saranan yang diberikan oleh pihak Kementerian Kesihatan. Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan perkembangan terkini dan nasihat yang bersesuaian dengan keadaan semasa.