Pengembalian Operasi Pengajaran Dan Pembelajaran Sekolah- Sekolah Rendah, Menengah Dan Pusat-Pusat Tingkatan Enam Peringkat Ke-2

Jun 16, 2020

Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa dengan nasihat dan kerjasama Kementerian Kesihatan dalam mengikuti perkembangan semasa wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, sesi persekolahan Peringkat Ke-2 pengembalian operasi pengajaran dan pembelajaran di institusi-institusi Pendidikan di Negara Brunei Darussalam akan dimulakan pada hari Khamis, 26 Syawal 1441 bersamaan dengan 18 Jun 2020. Bagi sesi persekolahan Peringkat Ke-2 ini, pelajar-pelajar yang terlibat adalah pelajar-pelajar peringkat pra-sekolah hingga Tahun 5 bagi semua Sekolah Rendah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, semua Sekolah swasta serta sekolah-sekolah Ugama di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama. Ini juga adalah termasuk pelajar-pelajar Tahun 5 di kelima-lima buah sekolah Arab di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama. Bagi sekolah-sekolah antarabangsa, ianya adalah tertakluk kepada tarikh yang telah ditetapkan oleh institusi masing-masing.


Dengan mengambil kira perkembangan jangkitan pandemik COVID-19 di negara ini, serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sesi persekolahan Peringkat Ke-2 bagi pelajar-pelajar peringkat sekolah rendah mulai dari pra- sekolah hingga Tahun 5 bagi Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Sekolah Swasta adalah dikekalkan kaedahnya menggunakan modaliti yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan. Sesi pengajaran dan pembelajaran akan menggunapakai gabungan kaedah secara face-to-face dan secara dalam talian mengikut kesesuaian serta kapasiti sekolah masing-masing.


Bagi Peringkat Ke-2 ini, seramai 43,765 pelajar atau 48.3% dijangka akan kembali bersekolah pada 18 Jun ini iaitu peningkatan sebanyak 23.1% secara purata dari jumlah peringkat pertama.


Pada Peringkat Pertama Pengembalian operasi pengajaran dan pembelajaran yang bermula pada 2 Jun 2020 yang lepas sehingga 15 Jun 2020, secara purata pelajar-pelajar di sekolah- sekolah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Sekolah Swasta telah mencatatkan kehadiran yang baik. Kerjasama para ibu-bapa dan penjaga di dalam memastikan anak-anak mereka menghadiri sesi persekolahan yang telah ditentukan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) serta garispandu yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah masing-masing amatlah dihargai. Dalam pada itu, sukacita juga diingatkan bahawa pemakaian face-mask atau selukup muka adalah sangat digalakkan di kalangan pelajar semasa mengikuti sesi pembelajaran di sekolah.


Pihak Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan sentiasa memantau pelaksanaan pengembalian operasi pengajaran dan pembelajaran ini secara berterusan dalam memastikan ianya berjalan dengan teratur. Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan akan sentiasa menekankan dua aspek penting iaitu mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri serta premis sekolah bagi memastikan kesejahteraan pelajar-pelajar dan warga sekolah adalah terjamin pada Peringkat Ke-2 pembukaan semula sesi persekolahan ini nanti.


Pihak sekolah telah pun membuat persediaan untuk menerima pelajar-pelajar di peringkat rendah dengan memastikan penjarakan sosial dapat dilaksanakan dengan penyusunan semula meja serta kerusi di dalam bilik darjah, di kawasan kantin, perpustakaan dan dewan dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP). Sementara itu bagi mengawal pergerakan pelajar-pelajar semasa berada di sekolah, pihak sekolah telah menyediakan laluan dua hala serta membuat tanda pita di lantai bagi memudahkan penjarakan sosial. Di samping itu, pihak sekolah juga ada menyediakan pensanitasi tangan di tempat-tempat yang strategik.


Pihak Kementerian Pendidikan amat menghargai komitmen yang telah ditunjukkan oleh barisan tenaga pengajar dan pemimpin sekolah dalam memastikan pelaksanaan dan pematuhan kepada garis panduan yang telah disediakan.


Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan perkembangan terkini dan nasihat yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Pihak Kementerian Pendidikan juga akan mengumumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa.